Selasa, 2 Jun 2009

JOM RAMAI-RAMAIKAN

Muktamar tahunan Dewan Pemuda PAS kali yang ke-50 akan dirasmikan esok di Markas PAS Taman Melewar dekat sini.Bermula tengahari lagi, pelbagai program telah diaturkan untuk memeriahkan lagi Muktamar kali ini antaranya Majlis Jamuan Keraian Muktamar dan di susuli acara kemuncaknya bermula jam 8.00 malam dengan ucaptama disampaikan oleh Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.

Muktamar kali ini bakal menyaksikan, Salahuddin menyampaikan ucaptama yang terakhirnya kepada Para Pemuda PAS, kerana jawatan yang digalasnya bakal dipikul pula oleh penggantinya Ustaz Nasruddin Tantawi.

Selain ucaptama dan perasmian, para perwakilan dan pemerhati akan diraikan dengan Persembahan Multimedia serta Persembahan Seni pada jam 10 malam.

Manakala penyampaian anugerah-anugerah akan di adakan selepas itu bagi menghargai segala jasa dan pengorbanan aktivis dan tokoh-tokoh tertentu yang banyak menyumbang jasa kepada parti.

Muktamar Pemuda PAS akan terus berlangsung pada keesokannya (4 Jun) di lokasi yang sama, di mana perbahasan dan usul dijangka bermula pada sebelah pagi dan petangnya.

Untuk mengetahui tentatif program Muktamar tersebut, sila layari laman web Muktamar PAS yang ke 55 di Muktamar55.pas.org.my

SUMBER: HARAKAHDAILY

AKHLAK AHLI GERAKAN ISLAM

oleh ust zainudin hashim

Setiap manusia memiliki potensi dan bakat tersendiri yang boleh melonjakkannya menjadi insan yang amat diperlukan oleh masyarakat, apatah lagi jika manusia ini daripada jenama Muslim, pasti dia amat diperlukan oleh agamanya untuk mengembang, memperkasa, membenteng, melindunginya daripada anasir yang boleh menggugat kekuatannya daripada serangan makhluk perosak akidah, iman dan ilmu pengetahuan agama.


Ia semua tertakluk kepada sejauhmana insan Muslim itu dapat membentuk jati dirinya dengan aspek tarbiyah yang telah diperkatakan sebelum ini, dengan mengambil kira semua jenis tarbiyah yang diperlukan oleh seseorang ahli gerakan Islam yang aktif, di samping memelihara uslub dakwah yang berkesan bagi memastikan kesinambungan gerakan Islam terus utuh dan kukuh di persada alam ini.

Bagi memastikan agar Islam terus berkembang melalui usaha dan kerja dakwah, ahli-ahli gerakan Islam perlu memelihara beberapa konsep akhlak yang dikira sebagai penting bagi meneruskan misi untuk memartabatkan Islam sebagai agama tertinggi dalam perjuangan hidup sebagai hamba Allah di muka bumi ini, antara akhlak tersebut yang mesti dipelihara ialah:

1. Akhlak terhadap Allah

2. Akhlah terhadap Rasulullah

3. Akhlak terhadap kitab Allah (al-Quran)

4. Akhlak terhadap Sunnah/hadis Rasulullah

5. Akhlak sesama jiran tetangga

6. Akhlak terhadap orang ramai

Konsep akhlak dalam Islam

Islam mempunyai dua sumber iaitu al-Quran dan As-Sunnah yang menjadi pegangan dalam menentukan segala urusan dunia dan akhirat. Kedua-dua sumber itulah juga yang menjadi sumber akhlak Islamiyah.

Prinsip-prinsip dan kaedah ilmu akhlak Islam semuanya didasarkan kepada wahyu yang bersifat mutlak dan tepat neraca timbangannya.

Apabila melihat perbahasan bidang akhlak Islamiyah sebagai satu ilmu berdasarkan kepada dua sumber yang mutlak ini, dapatlah dirumuskan definisinya seperti berikut:

Satu ilmu yang membahaskan tatanilai, hukum-hukum dan prinsip-prinsip tertentu bagi mengenal pasti sifat-sifat keutamaan untuk dihayati dan diamalkan dan mengenalpasti sifat-sifat tercela untuk dijauhi dengan tujuan membersihkan jiwa berasaskan wahyu Ilahi bagi mencapai keredhaan Allah (ridwaanullah).

Manakala akhlak pula dapatlah kita rumuskan sebagai satu sifat atau sikap keperibadian yang melahirkan tingkah laku perbuatan manusia dalam usaha membentuk kehidupan yang sempurna berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang telah ditetapkan oleh Allah.

Dengan kata lain, akhlak ialah suatu sistem yang menilai perbuatan zahir dan batin manusia baik secara individu, kumpulan dan masyarakat dalam interaksi hidup antara manusia dengan baik secara individu, kumpulan dan masyarakat dalam interaksi hidup antara manusia dengan Allah, manusia sesama manusia, manusia dengan haiwan, dengan malaikat, dengan jin dan juga dengan alam sekitar.

Justeru, baginda Rasulullah s.a.w. ada menegaskan bahawa, akhlaklah yang menjadikan seseorang Muslim itu hingga mencapai iman yang sejati, ini ditegaskan dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Sesempurna iman seseorang yang beriman itu adalah yang paling baik akhlaknya."

Akhlak terhadap Allah SWT

Ia bermaksud bahawa yang paling utama sekali ialah beriman kepada Allah SWT selaku Pencipta yang meliputi kepercayaan dan pegangan kental mengenai 'Tauhid Uluhiyyah' dan 'Tauhid Rububiyyah' bagi melahirkan iman dan akidah yang sejahtera daripada sebarang kepercayaan khurafat, bid'ah, tahayul, syirik yang sememangnya tidak sinonim dengan ahli-ahli gerakan Islam yang memperjuangkan akidah yang benar berpaksikan al-Quran dan Sunnah baginda Rasulullah s.a.w.

Akhlak terhadap Rasulullah s.a.w.

Iaitu keimanan dan kepercayaan kepada Nabi Muhammad s.a.w. sebagai rasul dan nabi terakhir seperti yang ditegaskan oleh al-Quran, membenarkan risalah yang dibawa kepada umat bagi menyatakan konsep 'Amar Makruf Nahi Mungkar' tanpa mengira batas sempadan kaum, bangsa, kedudukan, pangkat, jantina dan sebagainya, semuanya sama di sisi Allah, kerana yang paling bertakwa adalah yang paling mulia di sisi-Nya.

Akhlak terhadap kitab Allah (al-Quran)

Sesungguhnya al-Quran adalah rujukan utama kepada ahli-ahli gerakan Islam, ia dapat dijelmakan melalui pembacaan, penghayatan, kajian, penghafazan jika mampu lakukan atau menghafaz surah-surah tertentu yang sering dibaca oleh orang awam dan mentafsirkannya dengan pendekatan yang mudah difahami oleh golongan sasaran, ia bertujuan bagi menarik mereka kepada jalan hidup Islam yang sempurna.

Ini kerana al-Quran seperti apa yang pernah disampaikan oleh baginda sendiri, bahawa di dalam al-Quran ada menceritakan kisah orang-orang terdahulu daripada umat hari ini dan berita mengenai kehidupan di alam akhirat, ia memberi maksud bahawa kitab suci itu amat berguna untuk pegangan ahli-ahli kerana ia mampu menginsafkan mereka di samping menetukan hala tuju hidup terakhir untuk menuju jalan menemui Allah SWT.

Ahli gerakan Islam perlu tahu tafsir al-Quran dengan baik, kerana ia terbahagi kepada tafsir al-Ma'thur sama ada tafsir ayat dengan ayat yang lain, atau tafsir ayat yang diperjelaskan oleh hadis Nabi, tafsir bi ar'yi al-Mamduh aitu tafsir dengan menggunakan pendapat yang boleh diterima seperti kitab tafsir yang dibuat oleh kedua-dua Tuan Guru Mursyidul Am dan Presiden PAS, tafsir Hamka, tafsir Ustaz Sonhaji Mohammad al-Ibr al-Athir dalam bahasa Melayu, Saiyid Qutb yang ditrerjemahkan dalam bahasa Melayu oleh al-marhum Yusuf Zaki Yaakob dan lain-lain.

Akhlak terhadap Sunnah/hadis Rasulullah

Hadis adalah perkara yang berkisar tentang Sunnah Rasul s.a.w. dan apa yang disandarkan kepada Rasul s.a.w. dari segi perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat akhlak (peribadi) dan sifat kejadiannya. Hadis atau Sunnah Rasul s.a.w. adalah sumber rujukan kedua selepas al-Quran.

Sebagai ahli gerakan Islam, mereka perlu melihat bahawa hadis atau sunnah Nabi Muhammad penting dalam kehidupan rutin harian, iaitu mereka perlu menghafaz beberapa hadis penting sebagai rujukan hujah ketika menyampaikan mesej dakwah kepada orang ramai.

Mereka juga perlu menguasai perkara yang berkaitan dengan hadis atau sunnah seperti mengetahui imam-imam tersohor agak tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pihak musuh yang berselindung dalam kelambu orang Melayu. Imam-imam itu adalah seperti Imam Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Tirmizi, Ibnu Majah dan Nasa~ie disamping Imam Baihaqi, Tabarani, al-Hakim dan lain-lain, begitu juga menguasai ilmu 'Ulum al-Hadis' dengan mengetahui istilah hadis sohih, do'if, mutawatir, mursal, maudo' (palsu) dan lain-lain.

Akhlak sesama jiran tetangga

Ia juga merupakan pendekatan Nabi Muhammad s.a.w. dengan memelihara jiran tetangga walaupun mereka bukan beragama Islam, ini adalah kerana mereka juga merupakan makhluk manusia yang mempunyai hati dan perasaan yang sama dengan kita.

Ahli-ahli gerakan Islam adalah disaran agar memiliki ciri mesra alam dengan sesiapa terutama jiran tetangga, dengan tidak diri atau isteri mendedahkan aurat ketika berinteraksi dengan mereka kerana ini boleh menghilangkan sedikit rasa tidak percaya mereka kepada diri dan menjejaskan potensi untuk mengajak mereka kepada Islam secara praktikal.

Layanilah mereka dengan santun dengan tidak mengguris perasaan mereka walaupun mereka tidak menerima dakwah yang kita syorkan kepada mereka, apatah lagi mereka tidak sinonim dengan masjid atau program surau yang berbentuk kemasyarakatan dan ilmiah. Ahli perlu bersabar terhadap keranah mereka sebagai menyahut seruan baginda s.a.w. yang bermaksud: "Seorang mukmin yang bercampur/bergaul dengan orang ramai dan bersabar terhadap karenah-karenah mereka adalah lebih baik daripada mukmin yang tidak bercampur/bergaul dengan orang ramai dan tidak bersabar terhadap karenah-karenah mereka."

Akhlak terhadap orang ramai

Ia satu lagi akhlak yang perlu dititik-beratkan oleh ahli gerakan Islam, iaitu menjadikan orang ramai sebagai medium untuk menyampaikan mesej dakwah. Tetapi apapun sebelum melakukan tugas atau usaha dakwah itu, ahli perlu menguasai ilmu-ilmu alat di samping menyelami kehendak mereka bagi memudahkan kerja-kerja dakwah dengan tidak menghalalkan cara yang salah untuk sampai kepada matlamat.

Usaha dakwah terhadap orang ramai perlu menunjukkan sikap dan akhlak terpuji, apatah lagi ia tidak kelihatan menyanggah sunnah-sunnah Rasululla s.a.w. seperti menghisap rokok, minum atau makan berdiri, memakai pakaian yang tidak dianggap sopan menurut pandangan orang ramai.

Ia bertujuan untuk sampai kepada matlamat sebenar penciptaan manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi ini, sekali gus menaikkan taraf mereka sebagai sebaik-baik umat seperti yang ditegaskan Allah melalui ayat 110 surah Ali 'Imran yang bermaksud: "Kamu adala sebaik-baik umat yang dikeluarkan kepada umat manusia sejagat, dengan menyuruh mereka melakukan kebaikan, mencegah kemungkaran dan beriman kepada Allah."

Ahad, 17 Mei 2009

TAHNIAH TOK GURU PRESIDEN

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan Presiden PAS bila tiada calon yang mencabar beliau untuk jawatan tersebut.Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Dato' Mustafa Ali menegaskan hanya satu kawasan yang mencalonkan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menentang Hadi sebagai Presiden dalam pemilihan parti Jun nanti.

Setiap calon, tegas Mustafa, perlu mendapat dua pencalonan bagi melayakkan diri bertanding mana-mana jawatan yang dipertandingkan."Bila tarikh pencalonan ditutup 8 Mei lalu, hanya PAS kawasan Bukit Bintang mencalonkan Nik Aziz untuk bertanding jawatan Presiden.

"Lain-lain kawasan tetap mencalonkan Hadi dan kerana itu beliau yang telah menyatakan persetujuan untuk mengekalkan jawatan menang tanpa bertanding," jelas beliau kepada Harakahdaily.Menurut Mustafa, sehingga tarikh tutup menghantar pencalonan sebanyak 137 kawasan daripada 176 kawasan telah menyerahkan senarai pencalonan mereka.Baki 39 kawasan yang lain gagal menghantar senarai pencalonan mereka atau gagal mengadakan mesyuarat agung sebelum tarikh tutup pencalonan yang telah ditetapkan.

Seramai 125 calon layak bertanding jawatan-jawatan utama dalam parti.Setiap calon perlu mendapatkan dua pencalonan bagi melayakkan diri untuk bertanding.Calon-calon yang layak juga telah dihantar surat menyatakan jumlah pencalonan diterima dan perlu menjawab surat tersebut sama ada akan bertanding atau menarik diri.

Tarikh tutup membalas surat tersebut pada 25 Mei nanti.Mustafa juga menjelaskan calon-calon yang menarik diri selepas bersetuju untuk bertanding, nama mereka akan tetap dicetak dikertas undi."Jumlah pencalonan kali ini merupakan terbanyak berbanding pemilihan yang diadakan sebelum ini," jelas beliau.

Bagi jawatan Pengerusi Tetap sebanyak dua calon layak bertanding manakala Timbalan Pengerusi Tetap enam calon layak bertanding.Ustaz Abu Kassim Abdullah dan Hussain Ismail merupakan calon yang layak bertanding jawatan Pengerusi tetap.

Hussain turut dicalonkan untuk jawatan timbalan pengerusi tetap bersama Ishak Surin, Misbahul Munir Masduki, Nasuruddin Daud, Tengku Puji Tengku Hamid dan Dato' Wan Abdul Rahim Abdullah."Bagi kedua-dua jawatan ini hanya seorang bakal terpilih bila perwakilan membuat undian nanti," jelas Mustafa.

Lima orang dicalonkan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang oleh Ustaz Nasharuddin Mat Isa.Empat calon lain untuk jawatan timbalan presiden terdiri daripada Dato' Husam Musa, Mohamad Sabu, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dan Dato' Dr Haron Din.

Husam, Mohamad Sabu, Nasharuddin dan Azizan turut menerima pencalonan bagi jawatan Naib Presiden bersama 12 calon lain.

12 calon tersebut terdiri daripada Salahuddin Ayob, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Dato' Mahfuz Omar, Ustaz Ahmad Awang, Dato' Ustaz Harun Taib, Dato' Dr Hassan Mohd Ali, Ustaz Idris Ahmad, Dato' Kamaruddin Jaffar, Dato' Mohd Amar Abdullah, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin dan Ustaz Taib Azamuddin Md Taib.

Tiga orang daripada 16 calon ini bakal menduduki kerusi Naib Presiden bagi penggal 2009 ke 2011.Seramai 86 orang layak bertanding bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dimana 10 daripada mereka terdiri daripada calon wanita.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Saleh antara yang dicalonkan untuk jawatan tersebut selain Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali dan Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud.Exco kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Dr Halimah Ali dan Senator Mumtaz Md Nawi juga turut dicalonkan untuk jawatan ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat.

Hanya 18 orang calon bakal dipilih untuk jawatan ini daripada 86 pencalonan yang diterima.Bagi jawatan Pemeriksa Kira-kira, seramai sembilan orang calon layak bertanding dimana hanya dua orang bakal terpilih.

ULAMA DAN PROFESIONAL, PERLU KERJASAMA

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata tidak timbul isu ulama atau profesional yang dipilih sebagai pemimpin parti kerana gabungan dua latar belakang itu mampu mengukuhkan lagi kekuatan Pas.

Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau yakin perwakilan pada Muktamar Tahunan Pas, Jun ini akan memilih calon yang mampu memimpin parti dan ahlinya dalam urusan dunia hingga akhirat bagi semua peringkat jawatan.

"Zaman Nabi (Muhamad SAW) dulu hanya dia seorang yang alim. Yang lain semua profesional. Lama kelamaan ada gabungan antara ilmu Islam dan profesional.

"Ilmu akademik (profesional) ini yang menjadi dalil kepada kekuasaan Allah. Saya yakin perwakilan akan membuat pilihan pemimpin yang berkemampuan membawa dunia dan akhirat," katanya ketika ditemui selepas mengumumkan Deklarasi Perpaduan Nasional dan Keamanan Sejagat 13 Mei 2009 di Kota Darul Naim, semalam.

Isu pemimpin ulama dan profesional timbul apabila Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa bakal menghadapi pertandingan tiga penjuru pada pemilihan parti itu.

Difahamkan Nasharuddin yang juga Ahli Parlimen Bachok akan dicabar oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan dua Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Mengulas mengenai kerjasama dengan Umno, Nik Abdul Aziz berkata, beliau tetap menolak sebarang bentuk kerjasama termasuk berhubung cadangan kerajaan perpaduan, selagi Umno menolak dasar Islam yang menjadi dasar perjuangan Pas selama ini.

Katanya, Umno juga tidak dapat memberi sebarang jaminan yang Pas tidak akan disingkirkan, apabila Umno dan Barisan Nasional (BN) kembali kuat.

Katanya, berdasarkan pengalaman lalu, kerjasama dengan Umno menyebabkan perpecahan dalam Pas, hingga tertubuhnya beberapa parti serpihan, hingga ia terpaksa mengambil masa yang lama untuk membaik pulih keadaan.

Walaupun mengakui wujud perbezaan dasar perjuangan di kalangan parti yang menyertai Pakatan Rakyat, namun beliau menghormati perbezaan itu selagi parti dalam pakatan itu menyokong dan menerima dasar perjuangan Pas.

"Itu dia punya pasal (perbezaan dasar perjuangan), bukan parti saya, tapi dia sokong Pas, saya Alhamdulillah," katanya menjawab pertanyaan kesediaan Pas membentuk kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP.

Sementara itu, Dewan Ulama Pas bercadang mengemukakan usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu, hanya diisi pemimpin bertaraf ulama, pada muktamar yang akan berlangsung di Shah Alam, bulan depan.

MUKTAMAR PAS KAWASAN JASIN

MUKTAMAR PAS KAWASAN JASIN
PADA 16 MEI 2009
HARI SABTU
BERMULA JAM 8.30 PAGI
BERTEMPAT DI KOMPLEKS PAS KAWASAN JASIN(KOMPAJ)
DIRASMIKAN OLEH
TN.HJ. MOHAMAD BIN SABU
AJK PAS PUSAT

Al-Amin71 Versi 2

ssalamualaikum dan salam sejahtera.. salam perjuanganm

Bersyukur kehadrat Allah S.W.T Saya berjaya menyusuri alam maya untuk bersama dengan rakan-rakan blogger dalam menghangatkan lagi suasana politik di tanah air.

Dalam keadaan ketidakseimbangan media massa pada ketika ini yang bertindak tidak telus dalam melaksanakan tanggungjawab maka atas inisiatif ini saya berasa terpanggil untuk bersama-sama menyalurkan maklumat dan pandangan terhadap isu semasa yang berlaku di Malaysia terutama di negeri Melaka yang kononnya dikatakan bersejarah.

Sebarang pandangan dan komentar dari para pengunjung sekalian sangat saya alu-alukan.

Salam perjuangan dari saya
(Pemecah Tembok Keangkuhan Barisan Nasional)